Monday, July 14, 2008

Warkah Presiden



Assalamualaikum Wrt. Wbt.
Segala Puja dan Puji selayaknya bagi Allah Taala, tuhan yang telah mencipta langit dan bumi, siang dan malam, lautan dan daratan, dan segala makhluk yang bernyawa ataupun tidak. Bersyukur kita padaNya kerana masih lagi sudi meminjamkan secubit nikmat daripada timbunan-timbunan nikmat yang berada di sisiNya ke bumi yang tua ini untuk kita nikmati bersama. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

Hidup di dalam masyarakat yang selamat, aman, damai dan harmoni adalah impian setiap individu yang waras. Sudah menjadi fitrah semulajadi manusia yang diciptakan oleh Allah Taala itu mempunyai naluri suka akan kedamaian. Agama Islam adalah agama yang selamat lagi menyelamatkan. Oleh itu, setiap manusia yang lahir ke muka bumi ini adalah hakikatnya dalam keadaan bersih dan selamat(Islam). Seterusnya si anak ini memerlukan kepada proses pencorakan samada ke arah Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Dengan taqdir Allah, si anak ini telah dihantar ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk menyambung lagi pengajiannya. Sedar atau tidak wahai si anak, ibu bapamu ingin mencorakkan kamu dengan menggunakan acuan Islam sebenarnya. Titisan air mata dan peluh yang jatuh ke bumi tidak dihiraukan oleh ibu dan ayah demi memastikan anak-anaknya berjaya dunia dan akhirat. Oleh itu, jangan sia-siakan harapan ini, berbaktilah pada Agama dan Negara, serta jadilah anak yang soleh dan solehah kerana itulah antara hasrat ibu dan ayah yang paling utama. Ingatlah wahai sahabat-sahabat, siapalah kita tanpa ibu, ayah, dan juga Islam.

Kecemerlangan akademik merupakan satu destinasi impian setiap penuntut ilmu. Ianya hanya mampu dicapai dengan usaha yang gigih dan tawakkal yang kental kepada Yang Esa. Namun, tidak memadai jika kecemerlangan itu hanya dating dan pergi begitu sahaja kerana sebaik-baik kejayaan ialah kejayaan yang berterusan dan kekal. Oleh itu, apa yang diperlukan untuk mencapai kejayaan yang berterusan adalah KEBERKATAN. Dengan adanya keberkatan segala aktiviti yang dilakukan akan menjadi mudah dan lancar. Beban yang berat akan dirasa ringan. Segala kebuntuan akan dibentangkan jalan penyelesaiannya. Redha Allah dan Rasul, ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan dan masyarakat sekeliling, itulah yang perlu direbut oleh penuntut ilmu hak. Adab yang baik, akhlak yang mulia dalam pergaulan juga amatlah penting kerana ia sebagai kayu pengukur kepada peribadi seseorang muslim. Tahap Intelektual seseorang itu tidak akan dapat diukur dari lahiriahnya, akan tetapi yang dapat dilihat hanyalah budi pekerti yang baik yang dilahirkan melalui pertuturan dan perbuatan. InsyaAllah dengan adanya keberkatan ini, kejayaan dan kecemerlangan yang datang akan setia bersama kita selamanya.

"Al-Quran Dihayati, Evolusi Mahasiswa Bestari".

"Biarlah Kehadiranmu dinanti-nanti, Kewujudan mu dirai, Pemergian mu ditangisi"